Showing posts with label racau hati. Show all posts
Showing posts with label racau hati. Show all posts

Saturday, 5 December 2009

hanya dengan diam

doc macam mana mahu preparasi untuk gigi ini satu suara bertanya

bur tapi tidak terlalu dalam. di tepinya bikin bevel.

bukan seperti contoh ini ya?

bukan. buat bevel di sini.

ohh buat bulat suara lain.

bukan bulat!! bevel bevel bevel!!!

coba, apa itu bevel???! mata tepat menikam orang yang berada ditengah.

tersirap. terkejut dijerkah. aku tahu apa itu bevel tapi apa pasal aku yang kena. mood dah goyah dah. aku tahu. cuma yang aku nak tanya, kenapa contoh lain dari arahannya.

terpempam. diam.

biasanya aku suka melawan. sekarang tidak lagi. dah lama tak kena. baru tahu, dah berubah rupanya orang ini.

orang yang nampak kasar luaran. tak semestinya dia itu gagah. yang kasar itulah yang paling fragile hatinya.

yang paling lemah lembut jangan sangka lemah. biasanya orang yang lembut inilah yang paling kuat dan tabah orangnya.

oh, nama sebenar bermaksud kelembutan dan kehalusan. entah kenapa ayah pilih nama ini. mungkin bukan lembut secara zahirnya. tapi lembut jiwanya.

serius. satu hari, jika aku seorang guru. mungkin aku akan jadi seorang yang strict. kerana aku sukakan kesempurnaan. tapi bukan yang tidak mengajar lalu mengkritik. bukan yang menengking. bukan yang membuang jauh hasil kerja anak murid dan menganggap mereka pandai segala hal. takkan aku biarkan mereka menangis kerana merasa diri terlalu lemah akal untuk semuanya. aku tahu bagaimana rasanya masih merangkak tapi orang menganggap kau sudah boleh berdiri teguh dan berlari.

ya, bukan mudah mengawal emosi. sekarang bolehlah bina azam. aku tak marah lecturer. tak. aku marah sebab lain. aku marah sebab aku nampak senyuman. wajah tenang bukan selayaknya. jangan cuba menduga jiwa manusia. rumit. biar tiada yang faham. biar jadi rahsia.

adalah. taknak cakap.

*diam*

Monday, 2 November 2009

Happiness is a direction, not a place





“Flowers have an expression of countenance as much as men or animals. Some seem to smile; some have a sad expression; some are pensive and diffident; others again are plain, honest and upright, like the broad-faced sunflower.”
-Henry Ward Beecher, Star Papers: A Discourse of Flowers

Wednesday, 28 October 2009

aku menulis dengan rasa getik berbaur hampa

perasaan itu ibarat...

seorang ibu yang penat bekerja di siang hari. memasak untuk permata hati. tetapi di panggil setiap seorang tiada seorang pun yang peduli. seorang menonton televisyen. seorang berada di dalam bilik. seorang membaca surat khabar. ibu memanggil lagi untuk makan malam setelah penat bekerja di siang hari. namun tiada seorang anak pun yang peduli. melipat baju, membasuh pinggan, mengemas dapur. mahu anak-anak merasa air tangan yang penuh sayang. makanan yang penuh di atas meja belum berjamah. tiada siapa peduli. permaisuri hati yang melahirkan di abaikan demi kepentingan sendiri. mabuk dengan hiburan fana. tiada yang peduli.

perasaan itu ibarat...

kau menyimpan seleramu untuk makan malam supaya makanan itu disimpan ketika sahur nanti. ya, makanan yang kau masak sendiri. kau tak mampu makan berkali-kali. wang sakumu tinggal sesuku. malu menagih kepada ibubapa. sudah dewasa tapi masih meminta. namun di waktu dini. makanan licin dimakan insan yang kau tidak tahu gerangannya. bersahurlah engkau dengan air jernih berteman dingin. tiada yang peduli.

perasaan itu ibarat...

kau punya handai. kau ada keluarga. kau ada yang sayang. namun kau masih merasa dirimu seorang. tiada yang peduli. tiada yang sayang. merasa dirimu cukup membebankan untuk meluahkan segala. kau malu. sudah dewasa masih mahu mengadu. sudah tua masih mahu bermanja. melupakan dirimu itu jiwanya hawa. yang suka untuk di sayangi. yang gemar untuk dimanja. kerana kau tahu tiada yang peduli.

perasaan itu ibarat...

menjadi saksi seorang yang mempamerkan mahkotanya kepada yang haram. bersentuh mesra dengan yang haram. insan yang cukup ilmunya. tiada lagi hormat kepada dirimu yang bencikan batil. kau hanya tegar melihat. mulut terbisu. kaku. kau bencikan itu. tapi kau cacatkan deria. tegar kau biarkan dia tuna susila. walaupun sesungguhnya kau mahu jeritkan yang kau benci lakunya!!

keadaan itu ibarat...

kau sudah punya yang sayang. angan dipintal mahu bina bahtera bersama. cinta kasih tiada ragunya. tapi bekas makanmu sendiri dibiarkan bersisa. makan pakai masih ada yang menjaga. urusan dirimu masih ada yang perlu perlihat. perkara yang belum pasti sudah kau lakarkan citanya. tapi dirimu sendiri yang sudah pasti belum cukup didiknya tidak kau baiki. kini kau bahagia. esok lusa adakah akan sama? kau gembira, saksinya yang siksa.

perasaan itu ibarat...

seorang tukang masak yang hilang tangannya. seorang penulis yang kudung jarinya. seorang atlit larian yang patah kakinya. tiada siapa peduli sakitnya. simpati bukan hendaknya. berbakti kepada agama, bukan kamu. kebajikan kepada negara dan bangsa, bukan kamu. mahasiswa paling cemerlang bukan kamu. anak paling bijak juga bukan kamu. habis, untuk apa kamu di atas dunia ini? sekadar patung bergerak memenuhkan bumi yang sarat?

perasaan itu ibarat...

kau mula sedar yang perasaan menghargai orang lain itu sudah tidak wujud lagi didunia ini. tinggallah dirimu yang hampa. tapi kau bisingkan diri dengan gembira. kerana kau tahu tiada siapa yang peduli. kau biarkan dirimu hingar riuh. kekacauan dan kepiluan dalam dirimu mahu diselindung. kau tahu tiada yang peduli tentang duka. kau bukan siapa-siapa untuk dihargai dan disayangi. kau hanya insan yang singgah sebentar dalam hidup seseorang. kau hanya watak pipih dalam pentas layar kehidupan orang lain. tiada siapa peduli rasa hatimu. bicara sesukanya seperti kau tidak punya hati yang perlu dijaga. tiada siapa yang peduli

perasaan itu ibarat...

melihat waktu yang semakin pantas berlalu. manusia tiada lagi silu menjadi hina. tiada lagi malu berdosa. tiada lagi takut kepada Pencipta. kau tahu dunia semakin ke penghabisan. tapi hatimu masih sukar beriman dengan sesungguhnya. dibiarkan iblis menghiasi futhur. nafsu merajai hati. jiwa berlumus jijik. kenapa kau masih seperti dulu?

“Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu.” (hadith riwayat bukhari)


sudahlah surah qiyamah menggoncang gerunmu. janganlah engkau menjadi umat akhir zaman yang buta jiwanya, yang mati hatinya dan yang kematu akalnya. ayat firmanNya tiada tersentuh. kata sabda kekasihNya tidak terikut.

ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kesusahan dan kesedihan, aku berlindng kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepadaMu dari sifat pengecut dan bakhil, aku berlindung kepadaMu dari lilitan hutang dan dominasi manusia.


ku harap Kau dengar. walaupun aku ini penuh nodanya. tak tertampung hinanya. biarlah tiada siapa peduli diriku. asalkan Engkau masih peduli

Saturday, 23 May 2009

keburu nafsu


kecelaruan jiwa. penuh marah dan berang. bergilir bimbang dan pilu. mengapa? adakah kerana hati di belenggu noda? bibir berukir keji dan nista. mata berhias hodoh dan cela. telinga di sapa riuh dan hingar. marah bukan sebarang marah. berbayang rasa keji. berang bukan sebarang berang. berteman amuk di pendam. sindir perli bukan asing. nafsu-nafsu, raja di mata sultan di hati. di mana silapnya?

akhlak: refleksi iman.

muhasabah

"Orang2 yang beriman & hati mereka tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." [arRa'd:28]

Sunday, 26 April 2009

rindu entah pada siapa

aku pohon janganlah,
kerana mazmumah,
binasa iman,
hancur ibadah,
musnah pegangan.

masih adakah lagi,
senggang cinta itu,
buat abdi,
yang cela ini.

[klik]

pernah tak kamu merasakan sedih yang teramat sangat di kala sempit
fikiran berkecamuk. sepi.
kemudian kamu menangis dan meminta kepada Dia
kerana kamu tahu segalanya milikNya dan Dia tempat meminta
Dia mendengar
sekejap Dia memberi
tenang

lalu..

kamu kembali lupa
kamu lakukan silap
lidah tidak di awasi
tindakan tidak di jaga
culas mengawasi gerak geri

terasa juga seperti tidak disukai masyarakat sekeliling
kamu tidak setenang dulu
pujuk diri
berteleku dan terjumpa satu teguran halus

dan apabila manusia ditimpa bencana, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali (taat) kepadaNya; tetapi apabila Dia memberikan nikmat kepadanya dia lupa (akan bencana) yang pernah dia berdoa kepada Allah sebelum itu, dan diadakannya sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. katakanlah "bersenang-senanglah kamu dengan kekafiranmu itu untuk sementara waktu. Sungguh, kamu termasuk penghuni neraka" [39:8]

ayat yang begitu jelas lagi nyata.
teguran yang buat kamu terjelupuk merenung
aduh, mudah sungguh kamu
ralit dengan keasyikan

terpana
cantik bukan teguranNya?
Dia masih melihatmu
masih peduli..
kembalilah...

kamu tahu Dia boleh membolak hati
berusahalah kukuhkan percaya
teguhkan iman
tarbiyah tdzatiyah..
kamu tahu kan?

hayatilah kalamNya
kejarlah kasihNya

jaga hubunganmu denganNya
tak perlu bimbang hubunganmu dengan sekeliling

kini kamu rindu..
yang entah pada siapa..
jiwamu kosong
hatimu menginginkan sayang
kasih agung yang sering di ucap orang taqwa

cinta itu yang tidak perlu di lafaz
tapi ianya di rasa..

[ini bukan puisi]





p/s: ingat menelan dan bercakap itu senang ke mekanismanya? jangan pandai telan dan cakap saja. ok?

p/s2: esok presentation. lab. hari yang panjang dan penat. harapnya bertenaga!

p/s3: saya harap boleh menjadi pekerja yang rajin dan tidak banyak mengkritik. sabar menerima cemuhan orang lain. macam arisa dalam DMA. eheh~
p/s4: tak sabarnya nak balik. lagi 2 bulan. erk kerja kakak bagi tak siap lagi lah.
p/s5: kadang-kadang apa yang terzahir itu tidak seperti yang tersirat. jadi, jangan hakimi seseorang dari apa yang kita lihat dari luarannya. hanya dia tahu hatinya. bukan kamu. faham?

Wednesday, 22 April 2009

goyah


kepercayaan
kesanjungan
kehormatan

jangan sekali digoyah

bukan mudah menahan rasa
bukan mudah silap di gilap
bukan mudah khilaf di maaf

kerana manusia bukan sempurna
namun ia bukan dalih
kerana kau manusia
maka salah itu benar

jangan
langit berkelikir, bumi bertemberang,
salah-salah fikir menjadi hamba orang

jangan
bila hati sudah letah
bila percaya sudah ranah
dan bila sanjung turut rebah

baru sesal tidak bertempat
sakit menimpa sesal terlambat

p/s: assignment siap! harap-harap cikgu berpuas hati. lab partner, good job! semoga Allah permudahkan segalanya.

p/s2: rindu sahabat2 di sana [klik]

p/s3: tak faham? sometimes, something is better left untold.

Monday, 6 April 2009

diamlah!


aku tidak berasa kagum dengan orang yang mengaku dirinya hebat. aku langsung tidak takjub dengan manusia yang mendakwa dirinya naqib. malah aku sekali-kali tidak tertarik dengan orang yang mengiktiraf dirinya berilmu.

perlukah kita berkokok kepada seluruh dunia yang kita ini bagus?

aku lebih kagum, takjub dan tertarik kepada orang yang berendah diri tapi lubuk akal lautan, berwibawa dan tahu apa hakikat manusia perlu bersyukur. berpijak di tanah bukan apung di kayangan.

cukuplah engkau menjaja kesana ke mari yang dadamu penuh tahu. padat karisma. kaya harta.

ah, manusia takbur!
aku jengkel.

-puding caramel-

Wednesday, 11 February 2009

dua dunia


bila kau ada dua dunia berbeza
disini dan disana

di sini kau rasa pakaianmu sudah cukup besar diantara semua
tapi bila
disana kainmu belum cukup di antara semua

disini kau rasa dirimu sudah cukup baik
tapi bila
di sana dirimu bukanlah yang terbaik

disini kau rasa kau sudah usaha sehabis baik
menghafal ayat suciNya
tapi bila
di sana kau yang jauh ketinggalan

di sana..
setiap hari kau mahu menjadi seperti mereka.
menjaga diri
mendidik diri.
mengisi jasad dan ruh dengan manfaat

disini..
kau tak tahu di mana harus kau kais.
tak tahu apa patut kau ubah.
tak tahu apa patut kau cari
tak tahu apa patut kau ganti

kau hilang dalam ramai

bimbang diasing dalam dunia disini.
khuatir disisih dalam dunia sendiri
takut dibenci dalam dunia yang ini

kau paksa diri
butakan mata dengan kesalahan
tulikan telinga dengan kebingitan
kau sama seperti semua!

lupa kau bukan seorang
kau ada mereka di sana
lupa kau ada Dia

tarbiyah dzatiyah itu mesti
itupun kalau kau mahu kuat
itupun kalau kau mahu kemas
tidak boleh tidak

tapi

acap kali kau letah
kau abaikan apa yang patut
kau lewakan apa yang perlu

apa kau lupa?
apa kau alpa?

sunnatullah seorang gharib

tamat

Wednesday, 14 January 2009

aku menulis..


aku menulis untuk aku
aku menulis untuk kamu
aku menulis untuk kita
aku menulis untuk siapa sahaja

kata pujangga malam
persetankan kepada siapa
hanya engkau tahu dirimu

aku menulis
dengan melihat hidup
itu mendidik

aku menulis
dengan mendengar manusia
itu mengajar

aku menulis
dengan apa yang aku rasa?

sang qalbu mendengar, melihat, merasa
lahir coretan
terkadang penuh khilaf

aku menulis
untuk apa?
menuding kamu, kamu mahupun kamu?
melumur lumpur di muka dia, kamu, mereka?
akhirnya terpalit di muka sendiri
terhiris jantung yang sakit
perit

luas akal mentafsir
langgas hati terguris

kerana aku menulis
bukan untuk seorang kamu

tapi juga untuk diriku

tamat